Thursday, April 14, 2011

Najib: BN hanya sasar kekal kuasa Sarawak, majoriti dua pertiga ‘bonus’

KUCHING, 13 April – Datuk Seri Najib Razak menegaskan sasaran Barisan Nasional (BN) adalah mengekalkan kerajaan negeri yang dipimpin perikatan itu sejak lebih empat dekad lalu, tidak kisah jika hanya dengan majoriti mudah.

Ketika tinggal tiga hari sebelum pengundian, Pengerusi BN ini secara terbuka berkata, pihaknya hanya mahu membentuk sebuah kerajaan walaupun gagal memperoleh majoriti dua pertiga.

Najib (gambar) yang secara peribadi mengetuai kempen di sini sejak Ahad lalu berkata, jika BN memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri, ia adalah satu "bonus" bagi partinya.

"Sasaran kami ialah untuk membentuk sebuah kerajaan. Itu minimum. Majoriti dua pertiga adalah bonus kerana ia akan menyediakan kestabilan," kata beliau yang juga Presiden Umno di sini hari ini.

Pengundian pilihan raya negeri ke-10 ini, yang menyediakan 71 kerusi, berlangsung Sabtu ini.

BN memiliki 63 kerusi manakala baki oleh pembangkang.

Sejak 1987, ini kali pertama kesemua kerusi dipertandingkan dan BN berhadapan dengan saingan paling sengit.

Kata Najib, BN tidak mahu melihat secara khusus mengenai bilangan kerusi yang bakal diperoleh perikatan itu kali ini.

"Dalam mana-mana pilihan raya bilangan (kerusi bakal dimenangi) akan naik dan turun," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Malah Najib juga mengakui bahawa BN berhadapan dengan persaingan sengit di kawasan-kawasan bandar dan pilihan raya negeri kali ini "adalah yang paling sengit dalam politik Sarawak."

"Kami tidak boleh menafikan kerusi-kerusi bandar adalah kawasan yang kami diuji paling sengit," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta BN bekerja kuat di kawasan-kawasan bandar kerana calon-calonnya berkaliber dan tidak mahu pengundi menolak mereka hanya kerana protes.

Najib mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa beliau yakin akan mengekalkan majoriti dua pertiga dengan memperoleh undi pada jumlah yang banyak di kawasan luar bandar dan separa luar bandar.

Dalam ulasannya Najib juga berkata, pemimpin-pemimpin BN dari Semenanjung Malaysia berada di Sarawak untuk "membantu calon-calon kami agar Sarawak akan kekal di bawah BN."

Sumber: The Malaysian Insider
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment