Wednesday, April 13, 2011

Mufti Perak: Fatwa haramkan poco-poco belum diwarta

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 13 April — Tan Sri Harussani Zakaria mengakui sesiapa yang terlibat dalam tarian poco-poco di Perak boleh dikenakan tindakan termasuk  ditangkap hanya selepas fatwa berkenaan, yang diputuskan Februari lalu, digazetkan.

Bagaimanapun Mufti Perak itu berkata, proses untuk menggazetkan keputusan pengharaman tarian poco-poco mengambil masa selain perlu mendapat perkenan Sultan Perak selaku ketua agama negeri.

Kata Harussani (gambar), beliau juga perlu menjelaskan pengharaman tarian poco-poco kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mendapatkan pandangan.

"Belum digazetkan lagi... belum lagi... bila isu ini timbul saya akan bincang dulu, saya akan bincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti. Saya perlu jelaskan dulu alasan kenapa saya haramkan tarian poco-poco di Perak," kata beliau.

Bagaimanapun kata beliau, ia tetap haram walaupun belum diwartakan lagi.

"Tapi hukum tetap sama, haram tetap haram cuma sekarang kita masih belum gazetkan lagi sebagai undang-undang, nak gazetkan perlu ambil masa dan saya juga perlu dapat perkenan Sultan Perak dulu, kalau diber perkenan kita akan gazetkannya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelas beliau, walaupun masih belum digazetkan, namun tarian poco-poco yang telah diharamkan sejak Januari lalu tetap tidak boleh diamalkan di Perak kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

"Ia tetap tidak boleh diadakan di Perak, haram tetap haram. Bagi siapa yang buat, dia berdosa kerana melakukan perkara yang haram dalam Islam.

"Cuma kalau tidak digazetkan, kita tidak boleh ambil tindakan. Sebagai contoh, kalau ada pihak yang buat tarian poco-poco di Perak, kita tidak boleh ambil tindakan tapi kalau sudah digazetkan kita boleh tangkap siapa yang menari poco-poco," katanya.

Tegas Harussani, beliau berharap agar kerajaan negeri Perak akan mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa negeri itu.

"Kita harap semua pihak agar menghormati dan mematuhi keputusan yang telah dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, apa yang kita buat ini adalah demi kebaikan umat Islam.

"Kita haramkan tarian poco-poco sebab itu bercanggah dengan ajaran Islam selain mempunyai kepercayaan agama lain," katanya.

Sebelum ini Harussani berkata, pihaknya tidak akan menarik balik pengharaman tarian poco-poco dan bersedia untuk memberi penjelasan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan akhir bulan ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu membuat keputusan mengharamkan tarian poco-poco selepas membuat kajian dan penelitian mendalam.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah mengambil kira sembilan asas, antaranya soal akidah dan kepercayaan umat Islam lebih penting daripada penjagaan kesihatan apabila memutuskan tarian poco-poco sebagai haram.

Ekoran pengharaman itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco.

Sumber: The Malaysian Insider
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment