Monday, April 11, 2011

Guan Eng janjikan kaum Dayak dana RM1 bilion

Oleh Shannon Teoh

SERI AMAN, 11 April — Lim Guan Eng mencabar politik pembangunan Barisan Nasional (BN) semalam dengan menjanjikan masyarakat Dayak akan disediakan dana tetap RM1 bilion jika Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya negeri kali ini.

Pengundian diadakan Sabtu ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata  peruntukan itu tambahan kepada dana pembasmian kemiskinan RM1 bilion, yang turut disasarkan kepada Dayak, yang masih miskin meskipun merupakan majoriti di negeri itu.

"Penindasan dan tekanan ke atas masyarakat Dayak mesti berakhir.  Selama ini, kerajaan telah mengambil kesempatan dengan merampas hak mereka dan mengabaikan mereka," kata beliau.

"Sekarang, dengan hari pengundian tidak sampai seminggu, ini adalah kesempatan yang baik bagi masyarakat Dayak untuk bangkit mencabar kerajaan BN yang amalkan rasuah. 

"Negeri Sarawak milik rakyat Sarawak dan Pakatan Rakyat bertekad untuk memulangkan kekayaan tanah kepada rakyat," kata beliau dalam ucapannya di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Pakatan Rakyat akan memperuntukkan dana RM1 bilion untuk kemudahan awam seperti jalan, air dan bekalan elektrik di kawasan luar bandar, yang akan memanfaatkan masyarakat Dayak dan kaum-kaum lain.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mengecam Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memimpin kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu telah gagal mengadakan infrastruktur asas meskipun Sarawak adalah "negeri yang kaya, walaupun bukan terkaya di Malaysia tetapi (kaya) dari segi sumber semula jadi."

"Mereka mesti menikmati akses langsung di mana saja mereka berada agar mereka boleh memiliki kehidupan lebih tinggi dan membawa mereka ke arus perdana ekonomi," katanya.

Lim juga berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan menuntut kerajaan persekutuan menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus untuk menampung kedua-dua dana itu.

Meskipun tiada kenaikan kadar royalti, kata beliau, kerajaan negeri boleh mengadakan dua dana itu dengan menghapuskan rasuah.

Taib dan kerajaan negeri menolak dakwaan yang semakin meningkat bahawa kerajaan mengamalkan rasuah, terlibat dalam salah guna kuasa dan rampasan tanah rakyat sejak beberapa tahun lalu.

Lim juga menjanjikan bahawa tanah negeri Sarawak akan kekal di tangan penduduk setempat dan Pakatan Rakyat akan mengamalkan dasar yang sama di Pulau Pinang di mana wakil rakyat dilarang memohon tanah bagi mengelakkan salah guna kuasa.

DAP bertanding di 15 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini yang menawarkan 71 kerusi.

Sumber: The Malaysian Insider
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment