Friday, April 15, 2011

Ada Apa Pada Raja Petra Kamaruddin?

Oleh: Dr Awang Azman Awang Pawi

Sekiranya anda merupakan Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang dikenakan tahanan tanpa dibicarakan (ISA), apakah perasaan anda? Bagaimana situasi hidup yang bakal anda alami? Apakah yang bakal terjadi kepada masa hadapan keluarga dan anak-anak anda? Bagaimana hendak mencari rezeki untuk anak-anak anda? Bagaimana persepsi masyarakat terhadap diri anda dan keluarga?

Persoalan ini pernah membelenggu Raja Petra apabila dikenakan tahanan ISA.
Raja Petra merupakan teman baik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pernah menjadi sidang redaksi majalah keadilan. RPK juga merupakan golongan pejuang reformasi yang memainkan peranan dalam mengadakan kempen pembebasan Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu dan hingga kini mempunyai portal yang sangat kontroversi kepada semua parti politik di Malaysia.

Perasaan Raja Petra begitu gembira apabila bertembung dengan Anwar di mahkamah. Menurut Anwar, beliau akan dibebaskan daripada ISA kerana tidak lama lagi, iaitu pada 16 September 2008 Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan. Kegembiraan Raja Petra terubat. Bagaimanapun, apabila tarikh ditunggu-tunggu tersebut tiba, tidak ada perubahan kerajaan sebagaimana dijanjikan.

16 September 2008

Sebelum ini dalam media, Anwar begitu yakin pada tarikh tersebut. Bukan sahaja Raja Petra teman karib Anwar menanti tarikh tersebut, malah seluruh rakyat Malaysia menunggu detik-detik tersebut dengan sabar untuk melihat sejauh manakah benarnya kenyataan Anwar dalam memberikan janji politik. Bagaimanapun, rakyat seolah-olah tertipu dengan gimik politik demikian.

Dalam politik, Anwar perlu lebih realistik dan perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana diperdayakan dengan janji tersebut. Bagi Raja Petra janji tersebut telah menyebabkan kredibiliti Anwar sebagai tokoh yang dipercayai dan berwibawa semakin pudar dan ini merugikan Anwar sebagai ahli politik yang berpotensi besar dalam konteks nasional. Apakah untungnya beliau mewara-warakan tarikh tersebut sedangkan beliau tahu boleh memendekkan hayat sokongan politik yang diterimanya? Ternyata ia merupakan publisiti yang sementara sifatnya. Perkara ini mengingatkan akan satu ungkapan yang menarik untuk dikongsi- you can win the battle but lose the war.

Raja Petra juga mempertikaikan kepimpinan Anwar yang gagal membentuk kabinet bayangan bagi memperlihatkan bahawa terdapat calon-calon yang berkelayakan yang bakal menduduki kabinet pada masa akan datang. Adakah tidak adanya kabinet bayangan ini menunjukkan ketidakyakinannya untuk mengambil alih kerajaan?

Penasihat Ekonomi

Pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor sebagaimana diumumkan Menteri besar Selangor setakat ini belum lagi mengetengahkan dasar yang jelas dan spesifik sungguhpun beliau berpengalaman dan pernah menjadi mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Sehingga hari ini beberapa dasar konkrit belum dicanangkan sebagai idea Anwar untuk memberikan kredibiliti dan kapasiti dirinya sebagai penasihat ekonomi.

Apakah kerana sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja di peringkat negeri dan ini merupakan kali pertama kerana sebelum ini beliau dilihat sebagai pemimpin di peringkat persekutuan sebagaimana diakuinya sendiri?

Lantikan tersebut amat bermakna sekiranya dasar-dasar yang jelas dikemukakan dan dihebahkan kepada rakyat di Malaysia agar dapat dikongsi pengalaman tersebut. Perancangan jangka masa pendek, sederhana dan pajang negeri Selangor perlu ada agar negeri-negeri lain sama ada di bawah Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional belajar daripada Anwar untuk menguruskan agenda pembangunan negeri dan negara.

Barangkali sebab itulah terjadi suasana disebut Raja Petra di Selangor sebagai terjadinya dasar individu dan negeri yang kabur. Pada suatu tahap Raja Petra menyatakan timbul isu mengenai penjualan arak oleh Hasan Ali dari PAS manakala PAS pula kemudian membuat komen itu pandangan peribadi ahli PAS dan bukannya pandangan rasmi PAS negeri manakala DAP pula menyatakan perkara yang lain pula. Ketidaksepakatan sebegini menimbulkan kekeliruan rakyat dan sekiranya dibiarkan berterusan akan menyebabkan keretakan hubungan antara parti memerintah di Selangor.

Gagal Menjaga Parti?

RPK mendakwa Anwar gagal menjaga parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Apakah tuduhan ini berasas? Anwar juga disifatkan Raja Petra sebagai pemimpin yang gagal menjaga anak buahnya dan sering membiarkan anak-anak buah bertelagah di Selangor tanpa kawalan yang menurut Raja Petra Anwar sebagi jeneral politik perlu pandai mengawal askar-askarnya. Sikap terlalu berdiam diri dan dikatakan tidak terlalu mengawal kononnya untuk memberikan kebebasan suara kepada anak-anak buahnya. Namun ini memberikan persepsi seolah-olah Anwar hilang kawalan terhadap juak-juaknya dan boleh menghilangkan kepercayaan orang ramai.

Sejauhmanakah suasana ini turut berlaku dalam parti lain seperti UMNO, MCA dan Gerakan di Semenanjung? Adakah hal-hal tersebut merupakan budaya politik di Semenanjung atau sesuatu yang unik kepada PKR? Adakah situasi tersebut sesuai dalam konteks budaya politik di Sarawak?

Raja Petra juga menyatakan bahawa bukan mudah untuk membentuk dan menjadi kerajaan dan kerana itulah beliau mendakwa pembangkang belum dapat membukti kebolehan mereka kerana selama ini cuma mengkritik dan membangkang yang kerjanya lebih mudah akan tetapi apabila mereka sendiri di peringkat pelaksana akan merasai sendiri kesukaran dan halangan dalam pentadbiran dan pembangunan negeri.

Apakah kerajaan Pakatan rakyat akan mengeluarkan statistik pencapaian mereka untuk menangkis dakwaan-dakwaan Raja Petra yang pernah menjadi teman rapat mereka suatu ketika dahulu? Sejauh manakah Pakatan Rakyat menerima bahawa mereka tidak boleh bersatu kerana berlainan ideologi sebagaimana didakwa Raja Petra?

Raja Petra yang dikenali ramai sebenarnya bukanlah penyokong totok PKR, UMNO, DAP, PAS atau mana-mana parti lain di Malaysia. Keturunan kerabat diraja dan kacukan Inggeris ini merupakan yang cukup lantang kepada sesiapa sahaja dan mana-mana parti. Bukan sahaja kepada Anwar akan tetapi kepada parti lain seperti UMNO dan PAS.

Namun sejauh manakah penerimaan penyokong parti terhadap kritikan seumpama ini. Kalau ada kalangan penyokong UMNO boleh menerima kritikan Raja Petra, penyokong PKR khususnya perlu belajar dari kritikan Raja Petra untuk meningkatkan lagi persepsi positif terhadap parti politik yang mereka perjuangkan. Kritikan sedemikian walaupun pahit namun dapat meningkatkan kredibiliti dalam mana-mana parti sama ada UMNO, PKR, PAS mahupun DAP.

*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Dalam dunia kesarjanaan beliau pernah mendapat biayai Southeast Asian Studies Regional Exchange Program (SEASREP), Toyota Foundation selain daripada Mardjani Foundation Russia, ahli European Association for South East Asian Studies (EuroSEAS), dan anggota Scientific and Technical Committee & Editorial Review Board on Human and Social Sciences, di Paris.

Sumber: The Malaysian Insider
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment