Monday, April 18, 2011

8 Menteri Kabinet Angkat Sumpah







KUCHING, Isnin – Lapan Ahli Kabinet Negeri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Dewan Lapau, Bangunan Dewan Undangan Negeri baru di sini, hari ini.

Kesemua mereka kekal memegang portfolio yang lama sebelum Pilihan Raya Umum Negeri ke-10 pada 16 april yang lalu.

Mengetuai upacara tersebut ialah Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu ak Numpang yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri. Beliau juga memegang jawatan sebagai Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri pembangunan Luar Bandar.

Jabu juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sejurus itu, Dato Dr James Jemut ak Masing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Kemajuan Tanah diikuti oleh Dato Sri William Mawan ak Ikom, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.

Selepas itu, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar diikuti pula dengan Dato Sri Wong Soon Koh sebagai Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dato Sri Micheal Manyin ak Jawong sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan sebagai Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II dan Datin Hajah Fatimah Abdullah sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud turut menyaksikan upacara mengangkat sumpah tersebut.
Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah, isteri Ketua Menteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, dan Ketua-ketua jabatan.

Sumber: Sarawak Update/Penerangan
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment